Dalam era globalisasi ini, kita berhadapan dengan rencaman kemelut yang agak mencemaskan masyarakat dan pemimpin negara kerana melibatkan soal kebejatan akhlak khususnya dalam kalangan generasi muda. Saban hari kita membaca laporan ataupun mendengar berita tentang kemelut lumba haram. Statistik yang dikeluarkan oleh bahagian Trafik Bukit Aman jelas menunjukkan bahawa kes ini berada ditahap yang membimbangkan. Situasi ini amatlah bertentangan dengan norma masyarakat kita yang tersohor dalam kalangan masyarakat yang penyayang dan prihatin serta berbudi pekerti mulia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus songsang yang menghambat kita. Sebagai kulawangsa yang memiliki minda minda kelas pertama, kita seyogiannya mengatur strategi dan menyusun langkah sederap untuk menangani kemelut yang kian kronik ini.
Langkah pragmatis yang boleh diambil untuk menangani kemelut pandemik lumba haram ini adalah dengan mengadakan kempen tentang bahayanya lumba haram kepada remaja dan golongan dewasa serta anggota masyarakat lain. Keghalibannya, minda golongan remaja masih boleh menerima teguran dan nasihat melalui kempen yang diadakan secara berkesan dan berhikmah. Hal ini menuntut agar penganjur kempen menyediakan ruang yang selesa dengan dengan memasukkan input-input yang disampaikan oleh penceramah secara berkesan serta mudah difahami. Sekiranya tuntutan ini dipenuhi, saya percaya persepsi remaja dan golongan lain terhadap lumba haram akan berubah, minda mereka akan terbuka untuk sama-sama menghindarkan diri daripada terlibat dalam lumba haram baik sebagai penonton ataupun penganjur. Dekatilah golongan sasar ini secara berhemah dan bijaksana, kerana mereka ialah aset negara yang berharga, sesuai dengan kata yang sokmokali diungkapkan iaitu, "pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara". Ubahlah sikap mereka melalui unjuran nasihat yang boleh mencairkan mereka. Jika selama ini mereka merasakan bahawa lumba haram boleh menampakkan kejantanan mereka dan mereka bangga melakukannya, kini mereka telah berubah pendirian. Mereka tidak lagi mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan setelah didedahkan dengan akibat perbuatan yang boleh mencemarkan maruah negara. Tuntasnya, kempen yang dilaksanakan secara langsung, mahupun secara tidak langsung melalui corong radio, televisyen dan media massa yang lain wajar dilaksanakan secara berkesan dan terancang demi mendidik anak bangsa agar tidak terlibat melakukan onar yang berlarutan.
Di samping itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menunjukkan qudwah hasanah kepada anak-anak mereka. Dalam menempuh arus modenisasi ini, semua orang ingin mengejar kekayaan dan kemewahan dunia. Ketahuilah, kekayaan tidak akan menjamin kejayaan seseorang. Andai diberi emas nilai sebesar bukit juga, tidak dapat menggantikan nilai nyawa seseorang. Oleh itu, ibu bapa harus meluangkan masa bersama anak-anak mereka. Janganlah terlalu sibuk mencari kekayaan dunia sedangkan soal pendidikan terhadapanak-anak terabai. Pada waktu senggang atau pada waktu hujung minggu, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak beriadah dimana-mana tempat yang sesuai dan mungkin juga membeli-belah. Ahli filsuf agung, iaitu Imam Al-Ghazali pernah mengatakan; seseorang kanak-kanak yang diajarkan erti kasih sayang, dia akan berlatih untuk mengasihi orang lain". Oleh itu, sebagai ibu bapa yang penyayang, seyogiannya mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang agar anak-anak sentiasa dekat dangan keluarga dan tidak akan mencari alasan untuk keluar rumah. Andainya mereka kerap keluar rumah, kemungkinanya mereka akan terpedaya dengan ajakan rakan untuk berlumba.
Tambahan pula, rakan-rakan merupakan satu elemen yang mampu mempengaruhi pemikaran seseorang. Langkah pembugaran jiwa remaja haruslah diambil serius agar kemelut ini tidak berterusan. Golongan yang terlibat haruslah mencari rakan yang dapat membimbang mereka ke jalan yang betul. Remaja haruslah mengelakkan diri mereka daripada terus berkawan dengan golongan yang mengalami kemelut kebejatan akhlak seperti samseng-samseng jalanan. Dalam hal ini, Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya,"carilah sahaba dalam pergaulan, kerana seribu kawan belumlah banyak. Jauhilah seorang musuh kerana seorang musuh itu sudah lebih daripad seribu rakan". Berlandaskan kepada pesanan ini, kita wajar mencari rakan seramai yang mungkin serta menjauhi waima musuh waima seorang. Pada hemat saya, ingatlah pesanan ini, ",berkawanlah dengan penjual minyak wangi kerana kamu akan turut berbau harum, dan sekiranya kamu berkawan dengan tukang besi, kamu akan terkena percikan apinya. Justeru, andai kita berkawan dengan kawan yang melakukan onar, kita juga akan terdorong untuk terlibat sama.
Akhirulkalam, laksanakanlah obligasi murni mendidik anak bangsa ke arah melahirkan modal insan kerana, "pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara". Oleh itu, remaja seyogianya bebas dari melakukan budaya kuning serta heodonisme yang boleh meragut nyawa ini. Kendatipun sudah acap kali didedahkan, namun mereka seolah-olah tidak mengendahkannya dek sikap keras kepala mereka dan tidak takut akan peraturan yang ditetapkan. Janganlah kits lepas tangan dek kealpaan kita dan janganlah,"sudah terhantuk baru nak terngadah". Sayangilah nyawa yang Allah kurniakan kerana hidup hanya sekali didunia ini. Justeru, sebagai warganegara dan kulawangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang, serta meletakkan tugas mendidik masyarakat sebagai satu amanah penting, kita seyogianya sentiasa siap siaga untuk berganding bahu menangani kemelut ini secara berterusan dan komprehensif.
No comments:
Post a Comment